Penduduk Kg Gusi Ranau terima khidmat jalur lebar satelit berkelajuan tinggi

KOTA KINABALU: Kira-kira 280 penduduk Kampung Gusi yang terletak 80km dari Pekan Ranau kini boleh menerima perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi selepas Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTT) dan MEASAT Global Berhad (MEASAT) berjaya mengatur kedudukan bagi menyediakan perkhidmatan CONNECTme NOW di kawasan itu.

Connectivity.

Inisiatif menyediakan “Very Small Aperture Terminal” (VSAT) untuk penduduk kampung itu adalah sebahagian daripada sumbangan tanggungjawab sosial korporat CTT, kata kedua-dua pihak dalam satu kenyataan bersama di sini.

Kawasan luar bandar seperti Kampung Gusi menghadapi cabaran dari segi kemudahan infrastruktur dan ia mengambil masa dalam mengatur kedudukan komunikasi daratan untuk kesalinghubungan.

CTT, syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd, sayap pelaburan Kerajaan Negeri Sabah telah didekati bagi menyediakan kesambungan jalur lebar menerusi perkhidmatan VSAT.
“CONNECTme NOW daripada MEASAT adalah penyelesaian ideal untuk melakukan naik taraf segera bagi meningkatkan perhubungan internet yang boleh diharap, jadi pelajar dan masyarakat Kampung Gusi mempunyai kesalinghubungan yang diperlukan untuk menangani cabaran dihadapi terutamanya pada masa sekarang,” kata kenyataan itu.

Dengan CONNECTme NOW, perkhidmatan jalur lebar satelit prabayar pertama Malaysia di Kampung Gusi, penduduk kampung itu boleh dengan serta merta menikmati perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan sehingga 30 Mbps dengan membeli baucar prabayar dengan harga berpatutan yang memberikan kebebasan mereka untuk memilih pakej data mengikut keperluan masing-masing.
Pada November tahun lepas, dua remaja termasuk seorang pelajar cedera selepas terjatuh daripada sebuah jambatan gantung yang putus di Kampung Gusi semasa mereka cuba mendapatkan isyarat internet.

(Rujukan: https://www.dailyexpress.com.my/news/164221/penduduk-kg-gusi-ranau-terima-khidmat-jalur-lebar-satelit-berkelajuan-tinggi/)